Salam Ukhwah,
Saya nak share 1 artikel dari newspaper berkenaan gejala rasuah yg sgt2 berleluasa dikalangan penjawat2 awam..
Tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya pihak kerajaan menaikkan gaji asas kakitangan awam antara 10 hingga 40 peratus mendapat maklum balas yang pelbagai dari banyak pihak. Ada yang bersetuju dan ada yang sebaliknya. Manakala pihak yang membuat tuntutan juga ada alasan mereka yang tersendiri.
Bagaimanapun isu ini bukan sesuatu yang baru. Malah pada awal September lepas, isu ini ada dibahaskan di parlimen oleh wakil-wakil rakyat. Alasan mereka ialah gaji kakitangan awam sekarang disifatkan terlalu rendah dan tidak selaras dengan persekitaran ekonomi sekarang yang begitu mencabar. Satu alasan yang ada kebenarannya.
Bukan setakat Ceupacs atau wakil-wakil rakyat yang prihatin akan isu ini. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga prihatin akan nasib anak buahnya. Suatu ketika dahulu, beliau telah dilaporkan telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya menaikkan gaji polis berpangkat konstabel sehingga Asisten Komisioner Polis (ACP). Apa yang pasti gaji asas RM690 yang dikatakan diterima oleh anggota polis berpangkat konstabel adalah satu pendapatan yang membolehkan mereka tersenarai di bawah kelompok miskin jika Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bukan Malaysia dijadikan sebagai ukuran di sini. (PGK bukan makanan bagi Malaysia ialah RM691)
Sering kali ketidakcukupan pendapatan untuk menyara kehidupan, menyebabkan ada kakitangan kerajaan terpaksa membuat beberapa pekerjaan lain dalam satu masa bagi memenuhi tuntutan keperluan harian mereka. Ini sebenarnya boleh mengakibatkan tumpuan kepada tugas hakiki mereka terabai atau gagal untuk dilaksanakan dengan sempurna.
Apa yang lebih membimbangkan kita ialah adakalanya, keterdesakan hidup menyebabkan manusia yang lemah iman melakukan perkara yang dilarang agama. Maka masalah-masalah akhlak seperti rasuah akan muncul.
Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam ucapan beliau di World Ethics and Integrity Forum 2005 anjuran Institut Integriti Malaysia ada menyatakan bahawa unsur yang terpenting untuk memerangi rasuah di kalangan penjawat awam ialah menerusi gaji yang selaras dengan taraf kehidupan mereka. Jika dibayar gaji yang rendah berbanding rakan-rakan mereka di sektor swasta, para penjawat awam ini mempunyai kecenderungan untuk menerima pemberian atau suapan. Untuk itu, sejak 40 tahun yang lepas, kerajaan Singapura telah mengambil langkah membayar gaji ahli politik dan penjawat awam yang lain pada kadar 70- 80 peratus gaji purata 6 bidang kerjaya kakitangan yang berjawatan setaraf di sektor swasta.
Hasilnya, Singapura secara berterusan disenaraikan sebagai sebuah negara yang paling telus di Asia oleh Transparency International.
Apa yang dilaksanakan di Singapura sebenarnya telah dilaksanakan oleh Khalifah Umar al-Khattab (r.a) semasa zaman pemerintahnya. Dalam usaha untuk memastikan para pegawai agar tidak terjebak dengan amalan rasuah, Khalifah Umar (r.a) memerintahkan agar mereka diberi gaji yang tinggi. Begitu juga dengan para qadi. Mereka diberi gaji yang sangat berpatutan supaya tiada ruang bagi mereka untuk menerima atau melakukan rasuah. Qadi seperti Salman, Rabi'ah dan Shuraih (r.a) diberi gaji sebanyak 500 dirham sebulan. Mua'wiyah (r.a) pula menerima 1000 dirham sebulan.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Auza'i di mana Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang bekerja dengan kami, sekiranya belum lagi beristeri maka ia akan dibayar gaji sehingga ia mampu beristeri, sekiranya ia belum lagi mempunyai seorang pembantu, maka ia akan dibayar gaji sehingga ia mampu mendapatkan seorang pembantu dan sekiranya ia belum mampu lagi mempunyai sebuah rumah, maka dimampukannya (melalui pembayaran gaji) memiliki sebuah rumah.
Daripada hadis ini dapat kita fahami bahawa dalam Islam kadar gaji seseorang itu wajar dibayar sehingga ia boleh menampung satu kehidupan yang selesa.
Bagaimanapun dalam suasana semasa kenaikan gaji ini perlu berdasarkan kepada prestasi pekerja serta produktiviti yang mereka hasilkan di samping keuntungan atau kemampuan kewangan organisasi. Justeru itu perlu satu persefahaman yang jitu di antara pihak majikan dan pekerja. Penyelarasan gaji berdasarkan kepada hasil kerja dan keadaan kewangan syarikat mewujudkan kemamuran antara pekerja dan majikan kerana ia lebih adil dan saksama.
Bagaimanapun, dalam konteks semasa, gaji yang tinggi belum pasti dapat mengekang seseorang itu daripada menerima atau melakukan rasuah. Ia memerlukan satu gabungan usaha beberapa perkara bagi memastikan masalah ini dapat di atasi.
Di sini kekuatan iman amat perlu kerana ada kalanya mereka yang bergaji tinggi juga ada yang melakukan rasuah. Sebab itulah generasi awal Islam menolak sebarang perkara yang boleh mendorong mereka untuk terjebak dalam amalan ini. Malah mereka cuba mengelaknya sehabis mungkin sehinggakan para hakim dilarang untuk dipayung ketika hujan kerana dikhuatiri mereka akan terasa terhutang budi yang akhirnya boleh menyebabkan mereka tidak dapat memberi keadilan semasa menjalankan tugas.
Selain kekuatan dalam, unsur-unsur luaran juga perlu. Keazaman untuk memerangi rasuah oleh pihak kerajaan perlu disertai oleh peruntukan akta anti rasuah yang telus dan unsur penghakiman yang tegas serta satu badan penyiasat yang bebas. Pegawai-pegawai yang terlibat secara langsung dengan urusan penguatkuasaan dan perlesenan seperti polis, kastam, imigresen dan sebagainya perlu ditukar secara berkala selain perlu mengisytiharkan hutang piutang untuk dinilai.
Paling penting ialah iradah siasah (political will). Tanpa unsur ini, usaha membenteras rasuah tidak akan kemana. Antara punca kejayaan kerajaan Singapura mengawal amalan rasuah di republik itu ialah kerana ia telah menjadikan isu ini sebagai agenda utamanya sejak negara tersebut memperolehi status kerajaan sendiri pada tahun 1959. Mungkin dalam sesetengah perkara, ada sesuatu yang berguna yang kita boleh pelajari daripada jiran di seberang tambak ini.
Kadang2 ada tak kita terfikir mengapa dan kenapa mereka mengambil rasuah what we so call 'hadiah' ni??
Itulah yg saya takutkan..kadang2 sebelum p kerja, kita dah niat taknak amik rasuah,tanknak itu, taknak ini..pastu kena sabotaj oleh boss, suh sign borang ni, suh sign penerimaan ni...amacam??
Sebab tu ada banyak penjawat awam yg sanggup berhenti kerja (mana yg tebal imannya) kerana tak sggup nak lihat gejala rasuah yg sgt2la berleluasa la ni..
Tapi bukan perlu di salahkan penjawat awam itu shj, pemberi rasuah lagi la,patutnya disalahkan lebih lagi tau..sebab diaorg ni la yg perosak akidah penjawat2 awam ni...
Entahla...(",)